JOHOR BAHRU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah, sebuah daripada 13 buah sekolah yang dijadikan sekolah amanah di negara ini.

Menteri Pendidikan itu meluangkan masa selama lebih sejam meninjau prasarana di sekolah berkenaan selain menghadiri taklimat tertutup mengenai perkembangan dan pencapaian sekolah itu.
Sekolah Amanah dijalankan menerusi perkongsian awam dan swasta dengan Kementerian Pelajaran untuk mempertingkatkan prestasi pelajar secara holistik dengan menambah baik pengurusan sekolah serta memperbaiki kurikulum dan penyampaian pendidikan.


Program itu diterajui Yayasan Amir yang ditubuhkan oleh Khazanah Nasional Berhad pada 26 Oktober 2010.

Yang turut hadir semasa lawatan itu ialah Pengetua SMK Gelang Patah Asmah Abd Hamid, anggota Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Amir Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar dan Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Ketika ditemui selepas takimat itu, Noor Rezan berkata timbalan perdana menteri gembira dengan perkembangan dan pencapaian pelajar di SMK Gelang Patah.

Muhyiddin turut bertanyakan mengenai cabaran yang dihadapi di sekolah itu dalam melaksanakan program berkenaan.
Menerangkan lebih lanjut, Noor Rezan berkata konsep sekolah amanah ialah menerapkan pembelajaran secara holistik kepada pelajar bagi membolehkan mereka belajar secara kendiri dan kreatif.

Program yang tidak berorientasikan kepada peperiksaan semata-mata membuatkan pelajar seronok untuk datang ke sekolah dan ini meningkatkan mutu pembelajaran mereka.

"Lonjakkan kehadiran pelajar ke sekolah menyebabkan Tan Sri mahu datang sendiri untuk melihat kesan perlaksanaan program tersebut di sekolah ini," katanya.

Menjawab soalan pemberita, beliau berkata SK Medini dan SMK Medini di sini akan dijadikan sekolah amanah yang seterusnya manakala 13 lagi sekolah rendah dan menengah di negeri ini sedang dikenal pasti untuk program itu.

Selain lima sekolah amanah yang ada di Johor, tiga sekolah amanah sudah diwujudkan di Kuala Lumpur manakala lima lagi di Sarawak.

Beliau menyeru sektor korporat dan persatuan alumni sekolah-sekolah yang ingin menaja sekolah sebagai sekolah amanah untuk berhubung dengan Yayasan tersebut bagi memudahkan pelaksanaan program itu.

Katanya sehingga kini sudah ada 10 pihak yang menghubungi Yayasan Amir untuk tujuan itu. - BERNAMA