Sambutan 50 tahun (1966-2016) Selamat Datang

Galeri Arkib

Jumaat-10 Disember 2010




Projek perintis pertingkat akademik hasil perkongsian awam-swasta

PUTRAJAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kementerian Pelajaran semalam melancarkan inisiatif bersama dikenali Sekolah Amanah bertujuan meningkatkan prestasi akademik dan bukan akademik sekolah menerusi konsep perkongsian awam-swasta (PPP).
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sebanyak 10 sekolah, masing-masing lima di Johor dan Sarawak dipilih menyertai projek perintis itu di bawah program Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan AMIR.
Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Uda 2, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Kangkar Pulai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu, SMK Gelang Patah, SK Kampong Layau, SM Sains Kuching, SMK Bandar Kuching 2, SK Tabuan, SK Empila dan SK Combine.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, semua sekolah terbabit terdiri daripada sekolah berprestasi lemah, sederhana dan baik serta merentasi pelbagai latar belakang sosio ekonomi.

"Sekolah Amanah bukanlah sekolah elit kerana natijah akhir program ini untuk memastikan setiap sekolah dapat meningkatkan prestasi masing-masing dengan bantuan khususnya kewangan daripada Khazanah.

"Oleh itu, satu unit Sekolah Amanah sudah diwujudkan di kementerian bagi mengawal, menyelia dan memastikan objektif program dicapai selain penubuhan Yayasan AMIR di bawah Khazanah bagi mengendalikan projek perintis ini dalam tempoh lima tahun," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada media selepas melancarkan program Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan AMIR, di sini semalam. Hadir sama Pengerusi Yayasan AMIR, Raja Tan Sri Arshad Tun Uda; Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin berkata, menerusi program berkenaan, Khazanah akan memberi bantuan nasihat, kepakaran dan kewangan dalam usaha menaikkan lagi prestasi sekolah terbabit dan setakat ini beberapa syarikat korporat serta swasta lain menyatakan minat menyertai program terbabit.

Sementara itu, Azman berkata, Khazanah memperuntukkan RM20 juta setahun bagi melaksanakan program Sekolah Amanah itu selaras komitmennya menyokong usaha kerajaan mentransformasi sistem pendidikan.

Beliau berkata, Johor dan Sarawak menjadi pilihan projek perintis kerana Khazanah banyak menjalankan projek pembangunan di selatan Semenanjung, manakala Sarawak pula kerana pihaknya mahu pembangunan seimbang antara Semenanjung dan Malaysia Timur kerana program itu akan turut dikembangkan ke Sabah.

INFO: Sekolah Amanah







  • Mengamalkan konsep perkongsian antara awam dan swasta seperti yang diamalkan di beberapa negara antaranya Amerika Syarikat, England dan Sweden.
  • Sekolah awam akan diurus bersama oleh rakan kongsi swasta yang berkelayakan dan pengetua daripada perkhidmatan awam di bawah naungan Kementerian Pelajaran.
  • Menggabungkan ciri-ciri terbaik daripada sektor awam dan swasta bagi menyediakan pengalaman pendidikan yang lebih baik untuk pelajar supaya dapat mencapai potensi mereka sepenuhnya.
  • Berbeza dengan Sekolah Kluster, Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah SMART dan Sekolah Wawasan kerana ia menggunakan model pengurusan serta operasi yang berbeza iaitu berteraskan perkongsian awam-swasta.
  • Terus mengekalkan status awam tetapi lebih bebas untuk bekerjasama dengan rakan kongsi swasta berkelayakan (menerusi yayasan bukan berasaskan keuntungan) yang mempunyai kepakaran, sumber, dana dan kualiti kepimpinan bagi menawarkan perkhidmatan nilai tambah yang bersesuaian.
  • Rakan kongsi swasta boleh tergolong daripada institusi pendidikan tinggi, kumpulan alumni dan juga syarikat swasta.
  • Diberi kelonggaran bagi membuat keputusan mengenai penyampaian kurikulum, pembangunan profesional berterusan, kewangan dan pemerolehan serta pengurusan sumber manusia bagi mempertingkatkan inovasi dan memenuhi keperluan komuniti setiap sekolah.
  • Menetapkan beberapa sasaran indeks prestasi utama (KPI) yang berkaitan dengan peningkatan hasil pelajar dalam rangka masa lima tahun merangkumi aspek akademik dan bukan akademik seperti keputusan peperiksaan, kemajuan pelajar dan sekolah, perkembangan watak (kepimpinan dan kreativiti) dan kepuasan pihak yang berkepentingan iaitu pengetua, guru, ibu bapa dan pelajar.

  • 1 comment:

    1. Sekolah anak saya akan dijadikan sekolah amanah dlm masa terdekat ni. Boleh tolong jelaskan pada saya, silibus pembelajaran adakah masih same seperti sekolah yg lain (silibus yg ditetapkan oleh KPM)? Anak saya Form 4, asyik duk mengomen dan memburukkan pasal sistem sekolah amanah. Dia cakap nanti dia takde masa nak belajar utk SPM sbb sekolah amanah ade silibus extra yg kena belajar. Terima kasih atas penjelasan.

      ReplyDelete